WASHINGTON 10 Jun - Presiden Barack Obama menyokong tindakan Israel melonggarkan sekatan ke atas Genting Gaza, selepas menghadapi tekanan dari seluruh dunia berikutan tindakan komando Israel menyerang Flotila Pembebasan yang membawa bantuan ke Gaza, akhir bulan lalu.
"Situasi di Gaza kini tidak menentu," kata Obama semalam semasa bertemu Presiden Palestin Mahmoud Abbas di Oval Office.
Katanya, insiden serangan Israel ke atas flotila yang mengakibatkan sembilan aktivis pro-Palestin terkorban mendapat perhatian dunia.
Obama berkata, sekatan meluas Israel ke atas barangan yang memasuki Gaza perlu dilonggarkan dengan hanya memantau kemasukan senjata tetapi bukan barangan yang diperlukan oleh rakyat Palestin untuk kehidupan seharian serta membangunkan ekonomi mereka.
Dalam perkembangan berkaitan kunjungan Abbas ke AS, White House semalam mengumumkan pakej bantuan bernilai AS$400 juta (RM1.32 bilion) untuk Gaza dan Tebing Barat.
Jurucakap Jabatan Kerajaan P.J. Crowley berkata, bantuan tersebut merupakan peruntukan khas yang telah disediakan untuk rakyat Palestin, sebahagian daripadanya bagi memenuhi jaminan yang dibuat Setiausaha Hillary Rodham Clinton berjumlah AS$900 juta (RM2.9 bilion) pada tahun lalu.
Projek-projek yang diumumkan pada pertemuan dua pemimpin itu semalam termasuk bantuan pinjaman gadai janji di Tebing Barat berjumlah AS$240 juta (RM792 juta) dan sebanyak AS$10 juta (RM33 juta) untuk membina beberapa sekolah di Gaza.
Bahan binaan merupakan antara barangan yang dilarang memasuki Genting Gaza oleh Israel.
Rejim itu mendakwa para pemimpin Hamas menggunakan barangan tersebut bagi mengukuhkan kedudukannya.
"Perkara utama adalah untuk memastikan keselamatan Israel dapat dipastikan begitu juga dengan keperluan penduduk Gaza.
"Jadi kita dapat menentukan satu rangka kerja baru, bagi saya kita boleh melihat apa yang telah berlaku sebagai tragedi dan mengubahnya kepada satu peluang untuk mewujudkan satu situasi di mana kehidupan di Gaza boleh diperbaiki," kata Obama. - AP
* sumber kosmo
No comments:
Post a Comment