JODOH Dunga bersama Brazil telah berakhir selepas pasukan gergasi Amerika Latin itu tewas pada suku akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
SAO PAULO - Jurulatih Brazil, Dunga dan barisan kejurulatihannya akhirnya telah dipecat secara rasmi selepas kegagalan pasukan itu pada peringkat suku akhir Piala Dunia 2010 Jumaat lalu.
Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) dalam satu kenyataan semalam mengesahkan tindakan pemecatan tersebut.
"Dengan penutup kepada kitaran kerja bermula Ogos 2006 diakhiri dengan kegagalan skuad Brazil pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, CBF mengumumkan pemecatan kesemua pegawai teknikal dalam skuad kebangsaan Brazil," menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Dunga, 46, telah pun menyatakan kesediaan untuk berundur selepas Brazil tewas 1-2 kepada Belanda pada aksi suku akhir Jumaat lalu setelah empat tahun memegang jawatan itu.
Bekas kapten Brazil itu mengganti- kan Carlos Alberto Parreira sebagai jurulatih Brazil pada Julai 2006, sejurus tamat Piala Dunia di Jerman.
Dunga yang dahulunya merupakan seorang pemain tengah yang cukup kental, menjadi kapten ketika Brazil menjulang trofi Piala Dunia 1994 sebelum muncul naib juara empat tahun kemudian.
Biarpun tanpa pengalaman melatih mana-mana pasukan sebelum ini, karier Dunga sebagai jurulatih Brazil berjaya membawa pasukan itu muncul juara Copa Amerika 2007, juara Piala Konfederasi 2009 serta muncul pasukan tangga teratas Kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan.
Menurut kenyataan CBF itu lagi, jurulatih baru Brazil akan diumumkan pada penghujung bulan ini.
Lima calon yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan tersebut ialah Luiz Felipe Scolari, Mano Menezes, Muricy Ramalho, Ricardo Gomes dan Leonardo. - Reuters
* sumber kosmo
No comments:
Post a Comment